11 SEPT : Susulan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 kategori tiga hingga lima yang mengalami hipoksia tanpa sebarang gejala, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk membekalkan alat pengukur kadar oksigen atau oximeter kepada golongan yang berisiko.
Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata melihat kepada peningkatan itu, KKM akan berusaha untuk memberi oximeter kepada golongan tersebut.
“Kita akan segera laksanakan kiraan bajet bagi pemberian oximeter ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.
KKM juga menurut Khairy akan menyokong jika ada pihak yang mahu membuka Pusat Kuarantin dan Rawatan (PKRC) COVID-19 swasta di hotel.
“Kita menyokong jika ada syarikat atau kilang yang mahu biayai PKRC swasta bagi kakitangan atau pekerja mereka yang menjalani kuarantin.
“Dengan cara itu mungkin boleh menyumbang akses kemudahan kepada orang ramai,” ujarnya.
Kata Khairy lagi, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan hospital swasta bagi meningkatkan kapasiti pesakit termasuk pesakit COVID-19.
“KKM akan meminta tambahan 1,000 katil bagi pesakit COVID-19 memandangkan kapasiti hospital swasta sudah mencapai 87 peratus, sementara unit rawatan rapi (ICU) pula sudah mencapai 117 peratus. Justeru, kita minta supaya kapasiti ini dipertingkatkan,” katanya.