11 SEPT: Pengurusan Masjid Putra memohon maaf sekiranya wujud kekeliruan berikutan penyebaran video tular kononnya berlaku layanan pilih kasih atau ‘dua darjat’ antara jemaah dalam kalangan kenamaan (VVIP) dan orang biasa yang hadir untuk menunai solat Jumaat di ‘Masjid Merah’ di Putrajaya, semalam.
Pengurusan Masjid Putra menjelaskan, segala tindakan oleh pihak pengurusan masjid semalam dibuat berdasarkan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
“Apabila kapasiti jemaah telah mencukupi, pihak pengurusan masjid akan menutup pintu pagar utama masjid menyebabkan jemaah yang hadir kemudian tidak dapat memasuki masjid.
“Bagi solat Jumaat, kapasiti jemaah di Masjid Putra telah ditetapkan seramai 300 orang dan daripada jumlah itu, pihak pengurusan masjid turut memperuntukkan sejumlah kuota untuk jemaah tetap yang telah mendaftar lebih awal,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, pihak pengurusan juga tidak menafikan bahawa Masjid Putra menerima kehadiran jemaah melebihi kapasiti ditetapkan sejak pukul 11 pagi bagi menunaikan solat Jumaat dan pihak masjid sudah memaklumkan dan menasihatkan jemaah secara baik mengenai perkara tersebut.
“Pada masa sama, kita akan berusaha sedaya upaya menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah yang terdiri daripada pelbagai kedudukan.
“Pihak kami bersedia mempertingkatkan lagi kualiti pengurusan demi memastikan pelanggan setia kami gembira dan berpuas hati dengan khidmat yang diberi dan sebarang cadangan dan maklum balas bolehlah menghubungi terus pihak Masjid Putra,” katanya.