11 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menyifatkan pemergian bekas Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Tan Sri Zaman Khan satu kehilangan besar kepada sektor perkhidmatan keselamatan awam negara.
Ismail Sabri juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka akan tabah dalam menghadapi ketentuan Allah SWT berkenaan.
“Hari ini, Keluarga Malaysia kehilangan seorang tokoh perkhidmatan keselamatan awam yang disegani iaitu Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan, yang kembali ke Rahmatullah pada 10.15 pagi tadi.
“Selaku mantan Pengarah Bahagian Jabatan Penyiasatan Jenayah Bukit Aman dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia, Allahyarham sangat tegas dan komited dalam memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang perkhidmatannya.
“Salam takziah buat ahli keluarga Allahyarham atas pemergian insan tersayang dan saya doakan agar tabah menghadapi detik yang mendukacitakan ini.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya di sini, sebentar tadi.
Untuk rekod Zaman Khan, 80, anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara, di sini pada 10.15 pagi dan dijadual dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Allahyarham antaranya pernah memegang jawatan Pengarah JSJ Bukit Aman sekitar 1993 dan pernah mengendalikan kes berprofil tinggi termasuk kes Botak Chin (Wong Swee Chin) dan P Kalimuthu atau Bentong Kali.
Selain itu Allahyarham juga pernah menjadi pegawai kanan polis yang mengetuai usaha mencari dan menyelamat mangsa dalam tragedi Kondominium Highland Towers yang runtuh pada 1993.
Zaman Khan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Polis Selangor dari 1975 hingga 1978 dan menamatkan perkhidmatan dalam pasukan beruniform sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penjara pada 1997.