12 SEPT: Hanya pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri diperlukan mendapat surat polis bagi tujuan rentas negeri dan sekatan jalan raya (SJR).
Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memaklumkan pelancong yang menggunakan pesawat udara tidak perlu mendapatkan surat daripada pihak polis.
“Bagi program perintis pelancongan ‘travel bubble’ Langkawi, pelancong yang menggunakan pengangkutan darat dari luar negeri sahaja diperlukan mendapat surat daripada PDRM bagi tujuan rentas negeri dan SJR.
“Pelancong yang menggunakan pesawat udara tidak perlu surat polis,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan program perintis pelancongan gelembung pelancongan Langkawi yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut membalas ciapan Twitter Ahli Parlimen Rembau itu mengharapkan agar penjelasan Khairy dapat difahami oleh semua pihak.
“Diharapkan penjelasan ini akan merungkaikan kekeliruan mengenai keperluan permit polis untuk ke Pulau Langkawi.
“Penerbangan ke Langkawi tidak perlu permit polis,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan juga mengingatkan semua bakal pengunjung ke Pulau Langkawi, Kedah di bawah projek rintis gelembung pelancongan domestik agar sentiasa mengamalkan norma baharu dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Pada 9 September lepas, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan pelancong domestik yang memenuhi kriteria SOP dari seluruh negara termasuk dari negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh mengunjungi Pulau Langkawi mulai 16 September ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH