12 SEPT: Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan sesi persekolahan secara bersemuka 3 Oktober ini dilaksanakan mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan secara penggiliran.
Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan komponen tertentu dalam sektor pendidikan yang boleh dibuka dan tidak boleh dibuka.
Beliau berkata, pembukaan semula sesi persekolahan akan menggunakan kaedah penggiliran mingguan yang mana kapasiti ditetapkan 50 peratus daripada jumlah keseluruhan murid.
“Pendekatan itu bagi mengurangkan murid dalam kelas untuk mengurangkan risiko pandemik COVID-19 dan pengawalan murid di samping guru akan memastikan murid mematuhi prosedur operasi standar (SOP) ditetapkan.
“Setiap kelas persekolahan akan dibahagi kepada dua kumpulan iaitu secara pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang bergilir setiap minggu.
“Murid berkeperluan khas, asrama penuh, peperiksaan antarabangsa, sekolah kurang murid antara tidak terlibat penggiliran kelas,” katanya menerusi sidang media pengoperasian sekolah di Putrajaya, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekolah di negeri Fasa 1 PPN tidak dibuka dan pelajar akan tetap menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Sekolah di negeri fasa satu, iaitu Kedah dan Johor akan kekal ditutup buat masa ini, sekali gus semua pelajar di dua negeri berkenaan akan meneruskan sesi PdP.
“Murid prasekolah, tadika swasta di negeri Fasa Tiga PPN pula hadir tanpa penggiliran,” katanya.
Sementara itu, Radzi menegaskan semua pelajar yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah bagi sesi persekolahan bersemuka yang akan bermula pada 3 Oktober depan.
Tambah beliau, pelajar yang didapati bergejala di sekolah pula akan diasingkan segera dan menjalani ujian saringan COVID-19.
“Murid yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah. Tapi jika pada waktu pagi tidak bergejala, namun tiba-tiba dikesan bergejala ketika di sekolah seperti waktu rehat, pelajar itu akan diasingkan.
“Selepas diasingkan, pelajar itu akan menjalani saringan COVID-19 menggunakan kit air liur di sekolah.
“Melalui cara ini, sekurang-kurangnya kita boleh melaksanakan pengasingan awal pelajar bergejala itu daripada pelajar lain,” katanya.
Justeru, Radzi menggesa agar ibu bapa mengambil berat sebarang gejala pada anak masing-masing sebelum menghantar anak ke sekolah. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH