13 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah bersetuju mempercepatkan pembinaan hospital medan di Tawau untuk membantu Sabah dalam usaha memerangi COVID-19.
Berita gembira itu disampaikan Ismail Sabri kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor yang berkata, pembukaan hospital medan di Tawau amat mendesak memandangkan kerja menaik taraf Hospital Tawau hanya 60 peratus selesai.
“Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara secara dalam talian hari ini memberikan maklum balas kepada permintaan saya.
“Hospital medan yang sebelum ini yang dikendali oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menghentikan operasi,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Hajiji berkata, sejumlah 302 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dikenal pasti di Sabah dan 14 agensi membabitkan 6,800 kakitangan diaktifkan untuk menghadapi musim tengkujuh akan datang.