13 SEPT: Tempat kerja terus menjadi penyumbang terbesar dengan 16 daripada 32 kluster yang direkodkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, komuniti pula melibatkan 14 kluster manakala kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi, dan masing-masing satu kluster.
Bagi kluster di tempat kerja, beliau memaklumkan lapan di Johor, tiga di Perak, dua di Kedah manakala Pulau Pinang, Sabah dan Selangor, masing-masing satu kluster.
“Bagi kluster komuniti, enam di Sarawak, empat di Kelantan, dua di Pahang manakala Melaka dan Perak, masing-masing satu kluster.
“Kluster kumpulan berisiko tinggi pula, Johor mencatatkan satu kluster manakala kluster pendidikan tinggi, satu di Negeri Sembilan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif COVID-19 iaitu 16,073 kes berbanding semalam, 19,198 kes sekali gus diatasi oleh 24,813 kes sembuh dengan 1,312 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 698 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Menurut beliau, Sarawak terus menjadi penyumbang tertinggi 3,522 kes diikuti Johor (2,030), Selangor (1,947), Sabah (1,649), Pulau Pinang (1,243), Kedah (1,191), Kelantan (1,070) dan Perak (1,011).
“Lima negeri mencatatkan kes tiga angka iaitu Pahang (878), Terengganu (704), Kuala Lumpur (398), Melaka (206) dan Negeri Sembilan (156). Perlis pula mencatatkan 41 kes dan Putrajaya 16 kes manakala Labuan 11 kes,” katanya.
Sementara itu, berkaitan kes kematian, Malaysia mencatatkan penurunan kes kematian sebenar akibat COVID-19 iaitu 99 kes direkodkan semalam, manakala jumlah melibatkan kes tertunggak yang tidak dilaporkan sebelum ini berlaku penurunan, sebanyak 292 kes.
Berdasarkan maklumat yang dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my, 100 kes direkodkan kelmarin dengan jumlah melibatkan kes tertunggak, sebanyak 592 kes.
Jika kematian sebenar dibahagi mengikut negeri, Johor menjadi penyumbang terbanyak diikuti Pulau Pinang, Sabah, Kedah, Perak, Selangor, Sarawak, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis.
Hanya Labuan dan Putrajaya tidak mencatatkan kes kematian.
Melalui carta kes kematian itu juga, terdapat penurunan kematian sebenar iaitu pada 10 September, kematian yang dilaporkan sebanyak 341 kes tetapi kematian sebenar melibatkan COVID-19 adalah 125 kes dan sehari sebelumnya pula, 323 kes kematian tetapi kematian COVID-19 adalah 142 kes.
Carta itu menunjukkan kematian penurunan kes bermula 1 September lalu dengan 278 kes dilaporkan tetapi kematian sebenar adalah sebanyak 223 kes dan ini membuktikan Malaysia kini merekodkan penurunan kes kematian yang konsisten.