14 SEPT: Kementerian Kesihatan melaporkan kes pesakit pulih lebih tinggi iaitu 18,053 berbanding 15,669 kes baharu COVID-19 hari ini.
Ia juga hari keempat berturut-turut jumlah jangkitan mencatatkan penurunan, namun Malaysia mencatatkan keseluruhan jangkitan melepasi 2 juta iaitu 2,011,440 kes setakat ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, 689 daripada 1,266 pesakit di Unit Rawatan Rapi memerlukan bantuan pernafasan.
Selangor kembali berada di puncak dengan jumlah jangkitan harian tertinggi iaitu 2,632 kes diikuti Sarawak (1,983), Johor (1,974), Sabah (1,784), Pulau Pinang (1,651), Kelantan (1,406), Kedah (1,207), Perak (856), Pahang (763), Terengganu (483), Kuala Lumpur (411), Melaka (329), Negeri Sembilan (143), Perlis (30), Putrajaya (14) dan Labuan (3).
Hisham berkata, terdapat 17 kes import dan baki 15,652 kes penularan tempatan membabitkan 14,169 warganegara serta 1,483 warga asing.
Daripada jumlah kes baharu itu, katanya, 283 kes adalah Kategori 3 hingga 5, manakala baki 15,386 kes dalam Kategori 1 dan 2.