14 SEPT : Usul pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ke 2 diberi penangguhan untuk memberi laluan kepada pindaan Perlembagaan bagi menambah jumlah jawatan itu kepada tiga berbanding dua ketika ini.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat akan dibuat semasa pengundian Belanjawan 2022 akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa.
Menurutnya, perbincangan telah dilakukan bersama Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun agar pindaan tersebut dibawa pada penghujung sesi sidang Parlimen kali ini.
Katanya lagi , tujuan pemilihan Timbalan Speaker Dewan Rakyat ditangguhkan kerana kerajaan mahu meminda Perlembagaan perkara 57 (1)(b) bagi menambah jumlah Timbalan Speaker daripada dua kepada tiga seperti yang dibincangkan.
“Walaupun dalam Perlembagaan sendiri tidak menetapkan siapa akan jadi Timbalan Speaker, namun kerana ia dipilih Ahli Dewan, sekiranya diluluskan kita akan membuat satu peraturan mungkin supaya salah satu jawatan Timbalan Speaker akan dipegang oleh pembangkang.
“Saya sudah bincang dengan Peguam Negara supaya pindaan ini dibawa di hujung sesi ini untuk bacaan kali pertama dan diluluskan pada sesi bulan Oktober nanti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Usul yang dikemukakan Wan Junaidi disokong oleh Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) seterusnya telah dipersetujui Dewan Rakyat.
Jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum ini disandang oleh Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum beliau meletak jawatan pada 23 Ogos lalu.
Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri.
Azalina menjelaskan, peletakan jawatan itu agar kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih ruang untuk menetapkan semula Dewan Rakyat supaya ia benar-benar dapat berfungsi sebagai forum bagi persaingan dan kerjasama profesional antara parti mengenai dasar dan tadbir urus.