14 SEPT : Sapiah Mohd Nor mencipta sejarah apabila menjadi wanita Orang Asli (OA) pertama yang dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan Awam sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Pelantikan beliau yang berkuatkuasa bermula 15 September itu diumumkan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid menerusi satu kenyataan hari ini.
Pelantikan Sapiah menurut Mahdzir telah diperkenankan Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah AlMusta’in Billah.
“Pelantikan ini juga merupakan sejarah kepada JAKOA apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam.
“Saya bagi pihak Kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada YBrs. Puan Hajah Sapiah binti Mohd Nor atas pelantikan ini,” ujar Mahdzir dalam kenyataan tersebut.
Menurut Mahdzir, surat pelantikan Sapiah telah diserahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seei Ismail Sabri Yaakob pada 14 September di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen.
Untuk makluman, Sapiah Mohd Nor, 56, adalah Orang Asli dari keturunan Suku Semai, berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001.
Beliau memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun dan pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA).
Beliau kemudiannya dilantik menjadi Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2003 l hingga kini.