15 SEPT : Seramai 82,555 orang asli (OA) di seluruh negara sudah menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat ini menerusi Program Jangkauan Luar (outreach).
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, jumlah itu membabitkan 57 peratus daripada 144,180 orang asli di negara ini.
“Seramai kira-kira 50,000 lagi Orang Asli belum divaksinasi dan usaha ini tidak menjadi halangan kepada mereka untuk menerimanya kerana telah bersetuju untuk menerima vaksin.
“Namun, kebergantungan penerimaan vaksin kepada kementerian menentukan jumlah OA divaksinasi. Jadi, saya minta (Kementerian Kesihatan) agar kita mendapatkan segera vaksin CanSino sebanyak 50,000 dan dengan jumlah itu, 100 peratus boleh diselesaikan vaksinasi kepada Orang Asli,”katanya ketika pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Amanah Tampin, Datuk Dr Hasan Bahron berkenaan berapa peratus dan jumlah masyaraakt Orang Asli yang telah divaksinasikan menerusi program yang dilaksanakan oleh Kementerian.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Ahli Parlimen BN Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor yang mahukan penjelasan dilakukan Kementerian bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Abdul Rahman memaklumkan pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi mencapai misi tersebut.
Beliau berkata, antara usaha dilakukan adalah kementerian di bawah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah melaksanakan kempen bergerak yang memfokuskan dari ‘rumah ke rumah, kampung ke kampung’, bagi memberi kesedaran dan meningkatkan kefahaman Orang Asli tentang keperluan mengambil vaksin di samping menangkis berita-berita palsu.
“JAKOA juga melaksankan pendaftaran secara manual untuk mereka yang ketiadaan peranti, kurangnya liputan internet serta mereka yang tidak celik dengan maklumat IT. JAKOA juga menyediakan pengangkutan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan mengadakan usahama dengan agensi seperti Mara Liner.
“Berita baiknya, bermula bulan ini vaksin CanSion yang hanya guna satu dos mula dibekalkan kepada masyarakat OA dan akan mempercepatkan kadar vaksinasi kepada mereka khsusunya yang berada di kawasan pendalaman.
“KPLB akan meneruskan kerjasama dengan agensi strategik lain yang akan mempercepatkan program vaksinasi dan penggunaan aset-aset kerjaan seperti helikopter, bot di kawasan pendalaman agar dapat tingkatkan kadar vaksinasi. Kerajaan akan pastikan kehidupan keluarga Malaysia kembali seperti biasa,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH