15 SEPT: Dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Mohd Puad Zarkashi bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menolak pencalonan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Speakar ke 2, Dewan Rakyat adalah tidak benar.
Sebaliknya, BERSATU mengambil pendirian berkecuali terhadap pencalonan Ahli Parlimen Pontian itu selaras pendirian parti itu yang mahu hanya mereka yang berintegriti dan bebas sebarang pertuduhan di mahkamah.
Syarat tersebut ditetapkan gabungan Perikatan Nasional yang turut disertai BERSATU, PAS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) ketika menyokong pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri
“Tidak benar kita tolak (nama Ahmad) BERSATU ambil pendirian berkecuali seperti kita tetapkan, kita tidak mahu yang ada kes mahkamah,” kata seorang pemimpin BERSATU kepada PNBBC Portal.
Mohd Puad menerusi Faceook beliau mendakwa pemilihan Timbalan Speaker di Dewan Rakyat semalam terpaksa tangguh selepas Ahli Parlimen BERSATU dan 4 Bebas menolak pencalonan Ahmad.
Bagaimanapun, PAS menerusi Naib Presiden, Idris Ahmad beberapa hari lalu menyatakan parti itu menyokong penuh pencalonan Ahmad sebagai Timbalan Speaker.
Semalam, usul pemilihan jawatan Timbalan Speaker ke 2 diberi penangguhan untuk memberi laluan kepada pindaan Peraturan bagi menambah jumlah jawatan itu kepada tiga berbanding dua ketika ini.
Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memaklumkan, pemilihan bagi mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Ahli Parlimen Penggerang Datuk Seri Azalina Othman Said akan dibuat semasa pengundian Belanjawan 2022 akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum itu mengemukakan usul untuk menghentikan Peraturan Mesyuarat 6, Perkara 1 yang dijadual dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-Usul pada Selasa berhubung perlantikan tersebut.