15 SEPT : Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Husain Awang dilantik semula sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili Terengganu dalam tempoh tiga tahun.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mencadangkan pelantikan itu dan telah dipersetujui sebulat suara oleh seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Persidangan DUN, hari ini.
“Saya menzahirkan penghargaan dan berharap agar Husain dapat memainkan peranan sebaik mungkin bagi mewakili Terengganu ke peringkat pusat.
“Kita harap pelantikan semula beliau dapat memberikan sumbangan terhadap agama, negara dan negeri,” katanya.
Terdahulu, Husain, 75, telah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun sejak 2018 hingga 2021.
Beliau juga dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Terengganu pada 1999 hingga 2004 selepas Pas mengambil alih pemerintahan Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10).