15 SEPT: Setiap pelancong ke Pulau Langkawi, Kedah diwajibkan menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan mereka berkuat kuasa esok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ujian pengesanan itu perlu dilakukan ke atas individu dewasa (18 tahun ke atas) serta remaja dan kanak-kanak berusia tujuh hingga 17 tahun.
“Bagi kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah, hanya saringan gejala perlu dilakukan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan saliva.
“Kumpulan kanak-kanak ini mesti bersama ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap vaksinasi, bukan kes positif atau kontak rapat kepada kes positif, dan hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mereka yang terlibat boleh menjalani ujian saringan sama ada menggunakan RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti kesihatan dan makmal swasta, atau menggunakan kit ujian kendiri saliva yang dibeli sendiri.
Khairy berkata, untuk RT-PCR dan RTK-Antigent, individu perlu melakukannya dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berlepas dan keputusan ujian hendaklah dibawa bersama untuk pemeriksaan di pintu masuk iaitu lapangan terbang atau terminal feri sebelum berlepas.
“Selain itu, pelancong boleh membeli kit ujian kendiri saliva dan membawanya ke lapangan terbang atau terminal feri untuk menjalani ujian pengesanan COVID-19 di tempat saringan yang disediakan.
“Pelancong juga boleh membeli kit ujian kendiri saliva melalui perkhidmatan yang akan disediakan oleh pihak swasta di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri, dan menjalani ujian pengesanan di situ,” katanya.