16 SEPT: Kadar kes positif harian COVID-19 hari ini menunjukkan trend penurunan apabila Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 18,815 kes baharu hari ini berbanding 19,495 kes semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dengan pertambahan itu, jumlah kumulatif kes COVID-19 setakat hari ini di Malaysia kini mencecah 2,049,750 kes.
Dr Noor Hisham berkata Sarawak kembali mencatatkan kes harian tertinggi dengan 3,660 kes, diikuti Selangor (2,718), Johor (2,206), Sabah (1,982) dan Pulau Pinang (1,777 kes).
“Perak pula merekodkan 1,446 kes, diikuti Kedah (1,233), Kelantan (1,222), Terengganu (814) dan Pahang (712 kes).
“Manakala Kuala Lumpur merekodkan 493 kes, Melaka (269), Negeri Sembilan (170), Perlis (80) dan Putrajaya (22), manakala Labuan naik kepada 11 kes hari ini berbanding sifar kes semalam,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Twitter, hari ini.
Dalam hantarannya di Facebooknya, Dr Noor Hisham mengesahkan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara kini mencecah 81 peratus, manakala bukan ICU pula sebanyak 71 peratus untuk merawat pesakit COVID-19 di hospital di seluruh negara.
Dari segi pemberian vaksin pula, Dr Noor Hisham mengesahkan 76.2 peratus populasi dewasa di Malaysia kini sudah lengkap divaksinkan.
Beliau juga mengesahkan sehingga kini 92.5 peratus populasi dewasa di Malaysia kini sudah menerima sekurang-kurang 1 dos suntikan vaksin setakat hari ini.