16 SEPT: Cadangan untuk membenarkan pelancong asing berkunjung ke Pulau Langkawi akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dalam masa terdekat.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha terbabit bersesuaian dengan status pulau itu yang dipilih sebagai lokasi program gelembung pelancongan.
“Dahulu kita sudah putuskan supaya Langkawi boleh dibuka kepada pelancong luar negara, ini akan kita susuli dengan MKN.
“Bila mana ia agak sudah tersedia, pelancong dari luar negara boleh mengambil penerbangan sewa khas untuk ke Langkawi dalam tempoh tidak berapa lama lagi,” katanya dalam satu kenyataan selepas mengadakan sesi dialog bersama penggiat industri pelancongan di Langkawi hari ini.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, jika usaha itu dapat dilaksanakan segera, ia mungkin dapat menarik lebih ramai pelancong antarabangsa ke pulau berkenaan.
“Kalau dapat dilaksanakan segera, dengan mereka sudah dapat suntikan dua dos dan beberapa peraturan lain yang boleh dilaksanakan, ini mungkin dapat menarik lebih ramai pelancong dari luar negara datang ke Langkawi.
“Soalnya bila penerbangan antarabangsa ini dapat masuk (ke Langkawi), akan ditentukan dalam tempoh terdekat,” katanya.
Bekas Perdana Menteri ke-8 itu berkata tindakan berkenaan adalah antara perkara yang diberi perhatian oleh MPN kerana sektor pelancongan paling terjejas akibat COVID-19.
Selepas sekian lama ditutup ekoran pandemik COVID-19, Langkawi kembali menerima kedatangan pelancong pada hari pertama gelembung pelancongan yang bermula hari ini.
Dianggarkan 3,200 pelancong akan tiba di sini menerusi tiga trip perjalanan feri dari Kuala Perlis dan 18 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.