16 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana lain yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).
Ismail Sabri berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JPBP dan inisiatif melibatkan peruntukan RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara itu dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah.
Jelasnya, keputusan menaikkan kadar bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19.
“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa, tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung.
“Ini antara pendekatan baharu yang diambil oleh kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal Nov sehingga penghujung Mac 2022, melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau juga akan memgumumkan Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Negeri Sabah, berjumlah RM 18,241,250.00 dalam lawatan kerjanya ke Sabah hari ini.
Ismail Sabri berkata, peruntukan berkenaan adalah bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat yang terjejas sentiasa
dipelihara.
“Peruntukan ini adalah bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM 160,000.00), Pembelian 2,500 unit C-Tent (RM 961,250.00), Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(RM 20,000.00), Operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000.00) dan Pengurusan operasi COVID-19 di negeri Sabah (RM16,000,000.00).
“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam.
“Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.
Katanya lagi, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah
RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
“Selain itu, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan ialah pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.
“Bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.
“Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat
tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas,” katanya.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri juga menasihatkan agar semua pihak yang terlibat supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing. – Oleh HAIKA KHAZI