16 SEPT : GERAKAN menyokong sepenuhnya cadangan bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Lompat Parti di persidangan Dewan Rakyat.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, akta itu penting kerana ia mampu mewujudkan keharmonian serta mengembalikan kesejahteraan rakyat di negara ini.
Beliau berpandangan, ia sudah menjadi keperluan untuk akta itu diwujudkan bagi mengelak aktiviti lompat parti berterusan membabitkan ahli Parlimen.
“Apa sahaja RUU yang membawa kebaikan kepada negara ini, kita akan sokong dan jika RUU tersebut boleh membantu negara terutamanya dalam mewujudkan kestabilan tidak salah kalau kita menyokongnya.
“Sekarang ini negara dalam tempoh pemulihan daripada ancaman COVID-19 selain kita nak memastikan rakyat kembali kepada kehidupan normal dan juga penting untuk memulihkan semula ekonomi negara ini,” katanya ketika ditemui semasa lawatan menyantuni seorang bekas tentera sempena sambutan Hari Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.
Dominic berkata demikian ketika ditanya media mengenai cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam yang mencadangkan agar RUU tersebut dibentangkan di Dewan Rakyat bagi menghentikan sikap lompat parti dalam kalangan wakil rakyat.
Menurut Azalina, senario yang membabitkan lompat parti itu bukan sahaja tidak adil kepada rakyat tetapi kepada parti yang mereka wakili sebelum ini dan berharap agar Parlimen memberi laluan ‘fast track’ terhadap RUU yang diusulkan beliau sebelum ini.
Dalam pada itu, Dominic menegaskan, Malaysia sememangnya bergantung harap kepada pelaburan besar dari negara asing.
“Oleh sebab itu, kestabilan terutama dalam politik adalah sangat penting bagi mewujudkan keyakinan kepada pelabur.
“Ingin saya ulangi, jika RUU itu boleh membawa kepada kestabilan politik, kami di parti Gerakan sangat setuju dan menyokong demi pemulihan negara ini,”katanya.