16 SEPT : Draf pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan solat berjemaah di masjid dan surau telah dimuktamadkan secara bersama menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI), semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, hasil muzakarah itu telah disertai oleh mufti-mufti seluruh negeri dan keputusan itu merupakan panduan dan akan diserahkan kepada jabatan agama negeri masing-masing.
Beliau berkata, segala ketetapan berkaitan solat jemaah termasuk kuota jemaah yang dibenarkan adalah di bawah bidang kuasa agama setiap negeri dan terpulang kepada mereka bagi melaksanakan SOP itu.
“Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya menjadi penyelaras termasuk memberikan pandangan.Kami tidak boleh campur urusan agama negeri, kami perlu hormat, itu adalah merupakan bidang kuasa mereka.
“Kadang-kadang netizen marah kerana masjid tidak boleh datang ramai. Ini bukan tugas kami kerana soal agama di bawah negeri,” katanya kepada media selepas program Penyerahan Foodbank YaPEIM dan Kotak Makanan Yadim di Masjid Al-Wahhab Permatang Duyong di Melaka, hari ini.
Turut hadir sama, Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil dan Penasihat Agama Ketua Menteri, Datuk Kamarudin Sidek.
Dalam pada itu, Idris memaklumkan masjid adalah berbeza dengan tempat lain seperti kilang atau pusat beli-belah yang perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sahaja.
“Masjid perlu melalui bidang kuasa kerajaan negeri, jangan kita langgar hak orang,” katanya.
Pada program itu, Idris turut menyerahkan kotak makanan Yadim kepada Kamarudin dan lima penerima selain lawatan ke tiga buah rumah.