16 SEPT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa agar dapat bersatu padu bagi membina negara bangsa yang maju dan hidup dalam suasana harmoni.
Menerusi hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Malaysia 2021 kepada seluruh rakyat di negara ini.
Baginda bertitah, Malaysia akan mampu menempuh apa jua dugaan mendatang sekiranya rakyat terus meraikan kepelbagaian dan mengukuhkan persefahaman.
“Baginda juga mahu supaya setiap pihak berusaha menyemai semangat patriotisme di samping merasa bangga menjadi rakyat Malaysia yang tercinta ini.
“Selamat Hari Malaysia,” titah baginda.