16 SEPT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi memaklumkan penghasilan vaksin bagi penyakit bawaan air dan makanan seperti taun akan memasuki fasa ujian klinikal pada penghujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pembangunan vaksin pertama Malaysia itu diterajui bersama sebuah universiti swasta dan awam.
“Fasa ujian klinikal dari peringkat pertama hingga ketiga itu bakal membabitkan sampel manusia dan dijangka berupaya memacu daya saing Malaysia dalam industri farmaseutikal.
“Kita bertuah kerana Malaysia mempunyai kerangka dan persetujuan untuk membangunkan vaksin, tetapi pengeluaran bukan sahaja bagi COVID-19, sebaliknya turut meliputi penyakit lain,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, bagi vaksin kolera (taun), sebuah universiti swasta iaitu Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) dan Universiti Sains Malaysia (USM) akan melaksanakan ujian klinikal pada penghujung tahun ini.
Katanya lagi, fasa ujian klinikal ini bakal melalui tiga fasa sebelum ianya disahkan selamat untuk digunakan.