16 SEPT: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berpuas hati dengan proses ujian RTK-Antigen (RTK-Ag) dijalankan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2, sebelum penumpang dibenarkan menaiki pesawat ke Langkawi hari ini.
Ka Siong yang melakukan tinjauan bersama Pengurus Besar Operasi Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB), Shahrunnizam Abd Jamil di KLIA dan KLIA2 berkata beliau berpuas hati melihat proses ujian RTK-Ag pengesanan COVID-19 yang dijalankan dengan lancar dengan bantuan pegawai dari Kementerian Kesihatan (KKM).
“Saya mendapati ada penumpang telah membawa “self-test kit” untuk air liur (saliva test) dan ada pula yang membeli dari kaunter jualan di KLIA dan KLIA2.
“Hari ini, terdapat 8 penerbangan (4 MAS, 1 Malindo dan 3 Airasia) ke Langkawi dengan jumlah penumpang 1520 orang sempena bermulanya Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi,” katanya dalam hantaran menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Malah, menurut Ka Siong, berdasarkan tinjauannya pagi tadi mendapati seorang penumpang yang disahkan positif COVID-19 selepas ujian pengesanan dijalankan dan telah menjalani proses susulan yang diperlukan.
Beliau berkata penumpang berkenaan juga akur apabila tidak dibenarkan menaiki penerbangan demi keselamatan penumpang lain.
“Ahli-ahli keluarga penumpang yang disahkan positif melalui ujian RTK antigen juga tidak menaiki pesawat kerana mempunyai kontak rapat,” katanya.
Ka Siong berkata ujian pengesanan COVID-19 ini dilaksanakan adalah semata-mata mahu menjamin keselamatan semua pihak dan dalam masa sama memastikan Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi berjalan baik.
“Ketika berinteraksi dengan penumpang termasuk pelancong asing dari Perancis & Korea, mereka berasa gembira apabila sektor pelancongan domestik mula dibuka menerusi projek rintis ini.
“Mereka juga menyambut baik usaha kerajaan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengenakan syarat ujian pengesanan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan demi kebaikan semua pihak.
“Begitu juga dengan para kakitangan penerbangan yang kini mula mengukir senyuman apabila dibenarkan kembali berkhidmat. Suasana di lapangan terbang yang sudah lama sunyi kini kembali ceria.
“Saya turut mengingatkan kepada semua pihak supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan supaya usaha kerajaan untuk memulihkan negara khususnya sektor ekonomi dan pelancongan dapat berjalan dengan baik,” katanya.