17 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 346 individu maut akibat COVID-19 di Malaysia hari ini termasuk 105 daripadanya meninggal dunia di luar hospital (BID).
Dengan pertambahan itu jumlah keseluruhan mangsa meninggal dunia akibat COVID-19 sejak kes pertama wabak berkenaan dikesan pada 24 Februari 2020 kini menjadi 22,701 kes.
Semua data kematian dan data-data lain bagi situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman GitHub dan laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata seramai 1,223 pesakit COVID-19 termasuk 891 kes COVID-19; 332 kes disyaki, probable, dan kes dalam siasatan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 720 pesakit termasuk 410 kes COVID-19; 310 kes suspected, probable, dan kes dalam siasatan kini memerlukan bantuan pernafasan.
“Secara keseluruhannya hanya 244 kes atau 1.4 peratus daripada keseluruhan 17,577 kes dikesan positif hari ini dikategorikan sebagai pesakit COVID-19 kategori 3, 4 dan 5, manakala 98.6 peratus atau 17,333 kes lagi adalah terdiri daripada pesakit kategori 1 dan 2,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata KKM mengesan 19 kluster baharu COVID-19 di seluruh negara hari ini dengan 11 daripadanya adalah membabitkan tempat kerja, 11 komuniti dan dua lagi kluster membabitkan kumpulan berisiko tinggi.
Beliau berkata dengan pertambah itu jumlah kumulatif kluster COVID-19 di Malaysia sekarang ialah 5,247 kluster termasuk 3,860 kluster yang telah tamat dan 1,387 kluster aktif.