17 SEPT: Dua lokaliti di Pahang dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Ahad ini hingga 2 Oktober hadapan.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, kawasan yang terlibat adalah Kampung Sungai Padi, Mukim Telang, Lipis, Pahang serta Kampung Air, Beluran, di Sabah.
“Keputusan itu dibuat selepas pihaknya meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko dan jangkitan COVID-19 di lokaliti itu.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD sama seperti diumumkan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian PKPD, hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi memaklumkan, PKPD di Taman Samudera, Seri Manjung, Manjung, Perak yang sepatutnya tamat esok akan dilanjutkan 14 hari lagi sehingga 2 Oktober.
“PKPD membabitkan Pekan Padang Tengku, Mukim Gua, Lipis, Pahang dan Kampung Orang Asli Sungai Cincin, Batu Padang, Perak pula ditamatkan esok mengikut jadual.
“Pekan Padang Tengku merangkumi Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia serta deretan kedai Pekan Padang Tengku,” katanya.