17 SEPT: Diplomasi kebudayaan, enam topik utama dibincangkan dalam mesyuarat pertama Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri (CCFP) merupakan elemen penting jika mahu meningkatkan soft power Malaysia di mata dunia.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berpandangan agar waktu COVID-19 digunakan bagi merancang program diplomasi kebudayaan yang tersusun, terarah dan disertakan dengan peruntukan yang mencukupi.
“Apabila prosedur operasi standard (SOP) membenarkan sempadan antarabangsa dibuka semula nanti, alangkah baik jika kita ada program yang boleh menyaingi program diplomasi budaya yang terkenal seperti Fulbright Fellowship dari Amerika Syarikat dan Chevening di United Kingdom.
“Jika disusun dengan baik dan berstrategi, serta dirancang dari sekarang untuk dimasukkan sebagai salah satu agenda Belanjawan 2022, saya percaya kita boleh lakukannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah memaklumkan akan membentuk kerangka dasar luar negeri antaranya dengan menggalakkan diplomasi kebudayaan.
Dalam pada itu, Wan Saiful berkata, diplomasi kebudayaan boleh difahami sebagai pengunaan dan pertukaran idea, tradisi, dan pemikiran antara negara bangsa.
“Ia boleh dijelmakan dalam bentuk pertukaran delegasi antara negara, aktiviti kebudayaan, percambahan idea dan lain-lain lagi yang boleh memperkenalkan cara hidup kita kepada dunia.
“Negara kita mempunyai banyak perkara yang boleh dikongsi dengan dunia, termasuklah cara kita menguruskan kepelbagaian kaum dan agama, kekayaan adat resam, kejayaan pembangunan ekonomi, dan juga usaha pemulihan negara daripada kesan wabak COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH