17 SEPT : Kerajaan Itali mewajibkan setiap pekerja di negara tersebut memiliki sijil vaksinasi atau dikenali sebagai ‘green pass’ sebagai bukti mereka telah divaksinasi dan bebas daripada jangkitan COVID-19.
Penguatkuasaan peraturan seumpama itu pertama kali dilaksanakan di negara Eropah.
Sijil ‘green pass’ yang dibuat dalam dua versi iaitu versi digital dan juga bercetak kini perlu ditunjukkan bukan sahaja oleh pekerja tetapi termasuk orang awam untuk memasuki tempat awam seperti stesen keretapi, restoran, gim dan lain-lain.
Guru dan pekerja di sekolah juga diwajibkan untuk memiliki dan menunjukkan sijil ‘green pass’ mereka sebelum dibenarkan memasuki sekolah dan beberapa laporan mendakwa, ada guru yang telah berhenti kerja ekoran peraturan tersebut.
Pada Khamis lepas, kerajaan Itali telah meluluskan akta undang-undang berhubung sijil vaksinasi tersebut kepada pekerja di semua bidang termasuk yang bekerja sendiri.
Mana-mana syarikat atau pekerja yang gagal menunjukkan ‘green pass’ atau tidak memiliki sijil tersebut akan dikenakan denda sebanyak £1,280 bersamaan RM7,366.
Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza dalam satu kenyataan berkata, akta undang-undang baharu tersebut ada penambahbaikan sistem keselamatan di negara tersebut dan menambah kekuatan di dalam kempen vaksinasi negara tersebut.
Biarpun kumpulan minoriti akti vaksin di negara itu lantang mengkritik undang-undang baharu tersebut, namun sebahagian besar rakyat di negara itu bersetuju dengan penguatkuasaan undang-undang itu.
Itali setakat ini telah merekodkan lebih daripada 4.6 juta kes jangkitan COVID-19 dan lebih 130,000 kematian sejak bermulanya pandemik COVID-19 melanda dunia.