17 SEPT: Peruntukan pembangunan yang tinggi mampu memacu kemajuan ekonomi dan kehidupan masyarakat di Sabah dan Sarawak menerusi pelbagai pembangunan infrastruktur khususnya pencapaian internet dan telekomunikasi.
Ahli Parlimen Ulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, sebanyak RM4.66 bilion bagi Sabah serta RM4.47 bilion bagi Sarawak menerusi peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) adalah usaha kerajaaan bagi membangunkan strategi digital nasional yang holistik merentasi industri dan rakyat.
Pada masa sama, pembangunan lain seperti pendidikan, kesihatan mahupun kemudahan asas akan dapat dilaksanakan dan mampu merapatkan jurang serta memadamkan dakwaan-dakwaan bahawa Sabah dan Sarawak telah dianaktirikan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana memberi jaminan akan meningkatkan juga capaian internet berkelajuan tinggi di Sarawak dan Sabah sekali gus tiada lagi yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah, untuk mencari capaian internet pada masa akan datang.
“Selain itu, saya juga berterima kasih kepada Ismail Sabri kerana telah menekankan konsep dan semangat ‘Keluarga Malaysia’ pada ketika ini dan inilah salah satu bagi saya memainkan peranan yang amat penting.
“Di mana, kita tak boleh memainkan isu agama dan perkauman kerana kita sebagai sebuah ‘Keluarga Malaysia’ mempunyai berpuluh-puluh etnik mahupun budaya yang perlu dijaga dan dipelihara secara bersama,” katanya kepada PNBBC Portal ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan pembangunan tersebut buat Sabah dan Sarawak dan akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.
Pada masa sama, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan juga akan memperluaskan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021 hingga 2025 bagi meningkatkan capaian internet berkelajuan tinggi di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun iaitu RM3.61 bilion bagi Sabah dan RM4.09 bilion buat Sarawak sebagai langkah siap siaga untuk kedua-dua negeri itu beralih kepada teknologi 5G.
Ahli Parlimen Bera itu turut memaklumkan kerajaan memberi jaminan akan memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak khususnya melalui aspek rakan kongsi setaraf dalam MA63 yang akan terus diperhalusi melalui rundingan dalam Majlis Khas MA63.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perkara itu, Wilson menyambut baik penubuhan majlis tersebut yang mampu menjadi platform bagi kepimpinan di Sarawak dan Sabah menyampaikan keluhan serta isu yang berbangkit di samping mampu diperhalusi secara bersama kerajaan persekutuan dan dua negeri tersebut.
“Saya minta Ismail Sabri teruskan dan jangan dilewatkan segala isu yang telah dibangkitkan di samping perlu diputuskan dengan segera setelah mencapai keputusan secara bersama.
“MA63 perlu diselaraskan dengan baik. Sekarang ini bukan tak bagus namun perlu mengikut lunas yang telah difikirkan oleh pemimpin-pemimpin di Sarawak yang lepas,” katanya. – 0leh AIMAN SADIQ ABDULLAH