17 SEPT: Ujian pengesanan COVID-19 yang diwajibkan kepada semua pelancong sebelum masuk ke Langkawi perlu diteruskan.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ujian pengesanan terbabit membolehkan pelancong yang positif COVID-19 dapat dikesan lebih awal sebelum mereka memulakan perjalanan.
Katanya, terdapat kes positif COVID -19 kategori satu dan dua yang tidak bergejala dan pengesanan dapat dibuat melalui ujian berkenaan.
“Kami sudah buat persiapan dan bila buat ujian, ada individu positif. Agak malang kerana mereka tidak dapat meneruskan percutian.
“Saya harap ujian berkenaan diteruskan kerana ia memberi faedah,” katanya kepada media hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, bagi pengunjung yang menggunakan perkhidmatan feri, mereka dinasihat melakukan ujian pengesanan lebih awal, bagi mengelak kesesakan di terminal.
“Ujian pengesanan akan diteruskan di pintu masuk, sebolehnya pelancong buat ujian pengesanan sebelum datang ke jeti dan ada surat pengesahan keputusan ujian, selain sijil lengkap dua dos vaksin.
“Jika tidak lengkap, proses ujian pengesanan terpaksa dibuat di terminal dan ia akan mengambil masa, mengganggu perjalanan dan mungkin menyebabkan mereka terlepas feri,” katanya.