17 SEPT: Kerajaan tidak berniat menyusahkan pelancong dengan mewajibkan mereka menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki ke Pulau Langkawi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah itu diambil bagi mengelak kemungkinan berlakunya jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di pulau lagenda berkenaan disebabkan kehadiran pelancong.
Nancy berkata kerajaan ingin memastikan projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi berjaya mencapai matlamatnya.
“Sebelum ini saya menyatakan tidak ada swab test (ujian saringan), tiba-tiba hari ini (semalam) Kementerian Kesihatan mengumumkan ada swab test, tetapi Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara bimbang apabila berlaku sesuatu seperti banyak kes nanti.
“Ini adalah satu kerisauan yang positif yang kami di pihak MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya) merasakan oleh kerana ini satu niat yang baik, maka kami sambutlah dengan baik, kami sokong,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran pembukaan semula Langkawi sebagai destinasi rintis pelancongan domestik di sini malam tadi.
Mengulas lanjut, Nancy berkata, walaupun pengumuman itu dilihat agak lambat dan mengelirukan rakyat namun langkah itu demi memastikan kesihatan rakyat terjamin dan kejayaan gelembung pelancongan Langkawi.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam kenyataan semalam memaklumkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula hari ini diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.
Khairy berkata, ujian saringan mesti dilakukan oleh semua orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.
Sementara itu, Nancy berkata projek rintis gelembung pelancongan Langkawi akan menjadi kayu ukur bagi menentukan pembukaan semula lebih banyak destinasi pelancongan lain selepas ini.
“Kalau ini berjaya, maka insya-Allah projek gelembung pelancongan lain akan jadi mudah untuk kita. Semua sedang menunggu keputusan kita dari Langkawi ini. Destinasi lain sedang menunggu untuk dibuka,” katanya.