18 SEPT: Pergerakan aliran air bawah tanah selepas hujan lebat di Jalan Kemensah Heights Kuala Lumpur dipercayai antara punca runtuhan tanah yang menjejaskan bahagian belakang 27 rumah teres dua tingkat di kawasan itu, awal pagi tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, aliran air bawah tanah berkenaan menyebabkan struktur tanah menggelongsor pada 9.30 malam semalam, yang turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir.
“Ketika ini, pihak saya bersama polis dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya giat memindahkan mangsa untuk ditempatkan di dewan orang ramai.
“Malah, kerja-kerja pencerunan akan dilaksanakan pagi ini bersama pihak berkaitan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya telah menerima panggilan kira-kira 9.30 malam tadi dan seramai 16 orang anggota JBPM dibantu oleh 67 agensi penguat kuasa yang lain bagi melancarkan operasi.
“Pergerakan tanah berlaku secara perlahan-lahan akibat dari keadaan tanah yang tidak kukuh dan lembab.
“Masih terdapat riskio berlakunya runtuhan sekiranya keadaan hujan berterusan di kawasan sama,” katanya.
Sementara itu, tinjauan mendapati polis mengawal ketat lokasi kejadian dan tidak membenarkan sesiapa masuk sebagai langkah keselamatan.
Semalam, sebanyak 19 rumah teres dua tingkat membabitkan 28 keluarga terjejas akibat insiden tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights, namun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.