18 SEPT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dilaporkan tidak memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat kerana bertentangan dengan prinsip parti untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang ada kes mahkamah.
Justeru, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, segala pencalonan untuk melantik Timbalan Speaker perlulah mendapatkan pandangan semua parti komponen kerajaan Keluarga Malaysia.
“Pandangan BERSATU dalam isu berkait integriti sentiasa konsisten dan sedia diketahui umum.
“Saya rasa sebarang pencalonan atau keputusan dalam kerajaan yang berbentuk gabungan ini haruslah mengambil kira pandangan semua parti komponen,” katanya menerusi kenyataan ringkas kepada PNBBC Portal, hari ini.
Sebelum ini, Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO dilaporkan akan berebut jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat dengan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming daripada DAP.
Memandangkan Pakatan Harapan menamakan Kor Ming sebagai calon tunggal mereka, kerajaan justeru bimbang kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipertikaikan sekiranya calon mereka terkandas jika ada apa-apa berlaku ke atas pencalonan Ahmad.
Keadaan itu dilaporkan mungkin mendorong Ismail Sabri untuk mempertimbangkan calon lain untuk jawatan Timbalan Speaker.
Dalam pada itu, sumber daripada Sinchew Daily memaklumkan, walaupun Ismail Sabri telah menyerahkan nama Ahmad untuk dicadangkan sebagai Timbalan Speaker, tetapi cadangan itu boleh ditarik balik.
Sumber memaklumkan, sebanyak 31 wakil rakyat BERSATU telah menerima “arahan” daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak memberi sokongan kepada Ahmad.
“Ya, BERSATU tidak akan menyokong Ahmad sebagai Timbalan Speaker, kerana beliau ada kes mahkamah.
“Sebelum melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin telah menyatakan untuk tidak bekerjasama dengan kleptokrat.
“Kami berpendapat bahawa Perdana Menteri akan menukar nama Ahmad, tetapi kami setakat ini tidak tahu siapa yang akan menggantikannya,” katanya.