18 SEPT: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebentar tadi mengadakan lawatan mengejut ke Hospital Kajang, Selangor.
Perkara itu dikongsikan menerusi Facebook milik akaun Nik Aminudin Nss yang turut berkongsikan beberapa gambar yang memaklumkan Khairy membawa seorang pegawainya sahaja.
“Sempoi Yang Berhormat Khairy Jamaluddin…Menteri Kesihatan datang diam-diam sahaja ke Hospital Kajang, bawa sorang pegawai, datang hari Sabtu. Hari minggu semua pengurusan atasan hospital tiada.
“Sudah pasti Pengarah hospital pun tidak tahu. Macam ini baru tahu keadaan sebenar Hospital Kajang, ok ke tidak. Terbaik Chief Khairy Jamaluddin,” katanya menerusi hantaran yang sama di Facebook miliknya.
Kunjungan Ahli Parlimen Rembau itu kini tular di media sosial dan rata-rata warga maya memuji tindakan Khairy yang sanggup turun padang bagi melihat sendiri pelaksanaan dan pengurusan prosedur operasi standard (SOP) di hospital tersebut ketika negara sedang menghadapi pandemik COVID-19.
Netizen juga mengharapkan agar lawatan mengejut ini mampu menjadi platform kepada hospital bagi memperbaiki kelemahan yang ada dalam memberi keselesaan pesakit dan orang ramai ketika menerima rawatan. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH