18 SEPT: Merangka draf perjanjian baharu bagi menggantikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah suatu langkah tepat khususnya buat Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, ini kerana MA63 amat penting buat dua negeri tersebut.
Menurut beliau, ini kerana tanpa dokumen itu tiada rujukan dan asas untuk membincangkan isu yang akan dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua negeri berkenaan.
“Semua pihak perlu memahami bahawa MA63 dan Akta Malaysia juga dibentangkan di peringkat Parlimen serta Dewan Undangan Negeri di Sabah dan Sarawak.
“Sudah tentu kita perlu membuat perjanjian baharu dengan Putrajaya tetapi ia mestilah berdasarkan MA63, katakan jika anda tidak berpuas hati dengan Perlembagaan Persekutuan, apa dokumen rujukan yang boleh digunakan untuk membahaskannya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Maximus berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia semalam yang menggesa pemimpin Sabah dan Sarawak berhenti membangkitkan MA63 sebaliknya merangka perjanjian baharu dengan Putrajaya yang akan menguntungkan kedua-dua negeri itu.
Dalam pada itu, Maximus yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) itu memaklumkan di peringkat Persekutuan harus mempunyai sebuah perjanjian sebagai titik rujukan asas.
“Oleh itu, dalam hal ini jika tidak ada MA63 maka tiadalah titik rujukan asas,” katanya.