18 SEPT: Kementerian Kewangan (MOF) masih mencari kaedah terbaik bagi menstabilkan harga ayam di pasaran, termasuk melaksanakan sistem subsidi kepada penternak.
Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata MOF akan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), bagi meneliti secara menyeluruh impak kepada penternak ayam dan pengguna.
“Kerajaan sedar isu harga ayam yang meningkat naik menjadi rungutan masyarakat.
“Apa-apa keputusan yang mahu dilaksana perlu dilihat dari segi impak terhadap penternak selain semua pihak terbabit dalam rantaian industri makanan, dan yang paling penting sekali adalah impak kepada pengguna, itu adalah keutamaan kerajaan.
“Kita akan bincang lihat dahulu sebelum melaksanakan apa-apa langkah (sistem subsidi) sebabnya saya difahamkan, MAFI menjangkakan kenaikan ini (harga ayam) adalah sementara, berikutan ketidaktentuan apabila kita buka semula ekonomi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat ternakan ikan kelah, A Suko Genius Sdn Bhd, di Bukit Batu, Kulai, hari ini.
https://5b16cf2cfba0e62aacc23af71276b107.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html/container.html Minggu lalu, KPDNHEP bercadang melaksanakan sistem subsidi kepada pengusaha ladang ayam terbesar bagi mengawal kenaikan harga ayam di seluruh negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, dilaporkan berkata subsidi harga itu akan diberikan kepada 20 pengusaha ladang ayam di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Perak, yang mengeluarkan 80 peratus bekalan ke seluruh negara.
“Kita sudah mengadakan pertemuan dengan penternak atau pengusaha ladang terbabit bagi tujuan itu dan akan mengemukakan cadangan kepada MOF dalam masa terdekat,” katanya.
Semalam pula, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, kementerian itu akan membabitkan MOF dalam mencari penyelesaian yang boleh dilaksanakan kerajaan sebagai langkah proaktif menstabilkan harga ayam untuk jangka masa panjang.
Alexander dilaporkan berkata, untuk tujuan itu, beliau akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan MOF selain MAFI bagi mencari satu penyelesaian jangka panjang munasabah terhadap isu harga ayam.