18 SEPT: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyeru semua parti pembangkang yang belum menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik untuk mempertimbangkannya semula.
MoU tersebut katanya, itu bagi memastikan mereka dapat bersama kerajaan dalam menangani krisis kesihatan dan ekonomi negara dan bukannya bermakna pembangkang tidak lagi menjalankan tugas-tugas membangkang serta memainkan peranan semak dan imbang.
“MoU ini persefahaman antara kerajaan dan pembangkang tetapi dia tetap membangkang. Dalam Parlimen pun mereka tetap ‘tibai’ kerajaan dan peranan semak serta imbang tetap dimainkan.
“Cumanya ada persefahaman atau limitasi mengenai hal dinyatakan dalam MoU itu yang akan melibatkan kerjasama dari kerajaan dan pembangkang.
“Oleh itu, kita berharap parti lain juga yang belum menandatangani MoU, dapat mencari jalan supaya bersetuju dengan kerajaan, untuk bersama dalam urusan berkaitan COVID-19 dan pembangunan semula ekonomi,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima taklimat mengenai program tanam semula di Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau, Padang Terap, hari ini.
Parti pembangkang juga tambahnya, tidak sekali-kali menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana apa yang dibentuk bukanlah kerajaan perpaduan (unity government).
Tiga parti pembangkang iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) sehingga kini masih enggan menandatangani memorandum tersebut dengan memberi beberapa alasan.
Perkembangan itu mendorong pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bersuara menerusi satu kenyataan semalam untuk mengajak ketiga-tiga parti tersebut agar bersama menandatanganinya demi kebaikan masa depan rakyat dan negara.
Mahdzir menambah, dalam keadaan sekarang, semua ahli politik tidak seharusya sibuk bermain politik, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Elok kita tumpukan kepada kesusahan rakyat dalam ekonomi dan bagaimana hendak berdepan dengan pandemik ini. Di pihak kerajaan, insya-Allah tanggungjawab ini akan diambil secara serius dengan program ekonomi rakyat juga akan dibuat secara menyeluruh,” katanya.