19 SEPT: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengesahkan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 untuk golongan rentan di negara ini.
Menurut beliau, langkah itu perlu dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan tersebut daripada risiko jangkitan wabak terbabit.
Beliau berkata, keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised) dan warga tua dengan komorbiditi.
“Dos ketiga berkenaan juga akan diberikan kepada individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities), apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.
“Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berikutan itu, Ismail Sabri berkata panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga berkenaan.
“Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan,” katanya.