19 SEPT: Malaysia kekal dengan pendirian untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik, termasuk isu berkaitan pelucutan senjata nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman.
Berikutan itu, semua negara di rantau ini terutama Laut China Selatan digesa mengukuhkan kerjasama lebih aktif dalam mempromosikan dan mempertahankan rantau ini sebagai rantau yang aman, stabil serta berkembang dan makmur, seperti yang digariskan ASEAN Outlook on Indo-Pasifik.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pendirian Malaysia telah dibincang dan dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lalu, iaitu Kementerian Luar menyokong sepenuhnya kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kerjasama Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) (AUKUS).
“Saya juga menegaskan kembali kenyataan Perdana Menteri yang menggesa semua pihak untuk menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan Malaysia yang sedia ada di bawah Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN).
“Keprihatinan Perdana Menteri mempunyai asas kukuh bahawa penubuhan AUKUS akan menyebabkan berlakunya peningkatan persaingan senjata di rantau ini sekali gus berpotensi mencetuskan ketegangan antara kuasa-kuasa besar dunia dan memburukkan lagi tindakan agresif antara negara-negara tersebut di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin mendedahkan beliau ada menerima panggilan telefon daripada rakan sejawat dari Australia, Senator Marise Payne.
Beliau berkata, Payne memberi penerangan tentang AUKUS dan bercadang menghantar pegawai-pegawai dari Australia ke Malaysia bagi memberi penjelasan dan pemahaman lebih lanjut mengenai perkara berkenaan.
Perdana Menteri sebelum ini menegaskan Malaysia gusar terhadap penubuhan kerjasama melibatkan AUKUS yang bertujuan membantu Australia memperoleh kapal selam nuklear.
Justeru, Ismail Sabri berkata sebagai anggota dalam ASEAN, Malaysia berpendirian memegang prinsip mengekalkan rantau itu sebagai ZOPFAN.
Kenyataan itu hadir setelah Ismail Sabri menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison semalam, yang memaklumkan dan memberi penjelasan kepada Malaysia berkenaan AUKUS.
Pada Jumaat lalu, China mengecam keputusan ketiga-tiga negara membina ‘pakatan baharu’ dinamakan AUKUS dengan mendakwa sebagai tidak bertanggungjawab, berfikiran sempit selain berisiko merosakkan keamanan serantau dan memperhebatkan perlumbaan senjata.
Memetik laporan media antarabangsa, melalui AUKUS, AS akan berkongsi teknologi kapal selam untuk pertama kali dalam tempoh 50 tahun yang sebelum ini berkongsi dengan UK.
Hal itu bermakna, Australia akan membangunkan kapal selam berkuasa nuklear lebih cepat dan sukar dikesan daripada armada berkuasa konvensional.