19 SEPT: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan, Mohd Azam Abdul Samat, menempelak bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubungan isu tindakan kerajaan negeri memendek tempoh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada tujuh kepada empat jam sehari sahaja.
Mohd Azam menegaskan Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, sepatutnya meneliti terlebih dahulu saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum menyalah mana-mana pihak.
Beliau yang juga ADUN Sungai Limau berkata keputusan memendekkan masa sidang DUN daripada tujuh jam ke empat jam sehari adalah saranan KKM bukannya kehendak Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.
“Tindakan berkenaan diambil berikutan Kedah masih di Fasa Satu Program Pemulihan Negara (PPN) dan bersidang di tempat yang tertutup.
“Walaupun kesemua ADUN telah lengkap dua dos vaksin namun berada di dalam ruang yang tertutup dalam tempoh lama boleh mendatangkan risiko, lebih-lebih lagi kita sedang menghadapi ancaman varian Delta dan Gama,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata Mukhriz sewajarnya hadir taklimat bersama KKM yang diadakan secara di atas talian pada 13 September namun malangnya beliau hanya menghantar wakil.
“Sepatutnya beliau (Mukhriz) kena hadir tapi dia hanya hantar wakil. Tentulah tertinggal banyak informasi,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan Mukhriz melahirkan ketidakpuasan apabila Sidang DUN yang akan diadakan pada 20 hingga 24 September ini dipendekkan masa daripada tujuh jam kepada empat jam setiap hari.
Mukhriz dalam kenyataannya berkata tempoh singkat itu tidak mencukupi untuk membincangkan hal-hal bersangkutan terutama permasalahan negeri.
Dalam pada itu, Mohd Azam berkata walaupun masa disingkatkan namun sesi soal jawab pertanyaan lisan, perbahasan dan penggulungan Exco dan Menteri Besar tetap diadakan manakala tempoh empat hari berturut-turut itu cukup untuk memutuskan perkara-perkara penting mengikut peruntukan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah.
“Jika ADUN Jitra mempunyai cadangan, soalan atau kritikan, boleh sahaja kemukakan melalui pelbagai kaedah dan platform. Tidak semua harus diselesaikan dalam Sidang DUN semata-mata.
“Malah saya percaya, apa saja buah fikirannya selaku bekas Menteri Besar Kedah termasuk ADUN-ADUN lain akan diterima Sanusi sekiranya munasabah dan ada kebaikan kepada rakyat,” katanya.
Sidang DUN Kedah akan bermula esok sehingga 23 September selama empat hari di Wisma Darul Aman sementara Perasmian Titah Tuanku Sultan Kedah akan diadakan secara di atas talian.
Jumaat lalu semua ADUN dan yang berkaitan diadakan ujian saringan Covid-19 (swab test) secara pandu lalu untuk memastikan semua yang hadir negatif wabak terbabit.