19 SEPT: Kerajaan akan memperuntukkan lebih RM471.6 juta untuk melaksanakan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia bagi kategori B40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC, yang terdiri daripada pek pelitup muka guna semula, kit ujian kendiri COVID-19, satu oximeter, satu termometer dan risalah panduan penggunaan serta info kesihatan menerusi pakej berkenaan.
Kata Ismail Sabri, langkah berkenaan adalah antara persediaan negara ke arah era endemik COVID-19 dan memastikan individu dan keluarga di negara ini bebas daripada jangkitan virus itu.
“Pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga.
“Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak, termasuk ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata inisiatif berkenaan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata menerusi bantuan itu, setiap keluarga akan menerima empat keping pelitup muka guna semula dan empat kit ujian kendiri COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI