20 SEPT: Pelantikan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (PPN) adalah tepat berdasarkan pengalaman beliau menguruskan krisis COVID-19 dan ekonomi negara sebelum ini.
Berikutan itu, Ahli Parlimen PAS-Kemaman, Che Alias Hamid menegaskan dakwaan sesetengah pihak terutama PH yang mengatakan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal adalah tidak tepat sama sekali.
Justeru, Che Alias berharap berharap semua ahli Parlimen tanpa mengira fahaman politik untuk berganding bahu dan membantu kerajaan dalam mensejahterakan kehidupan rakyat dan memulihkan ekonomi negara berikutan pandemik COVID-19.
“Ini adalah selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua ahli Parlimen mengamalkan demokrasi musyawarah dalam menyelesaikan semua masalah berlaku.
“Ahli Parlimen juga dititah oleh Yang di-Pertuan Agong supaya tidak menjadikan rakyat sebagai taruhan untuk menjayakan agenda peribadi mereka,” katanya ketika membahaskan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Che Alias berkata beliau menyambut baik langkah kerajaan untuk membuat persiapan untuk memasuki fasa endemik COVID-19 pada akhir Oktober nanti.
Berikutan itu Che Alias berharap kerajaan akan membuat kajian terperinci sebelum mengumumkan Malaysia memasuki fasa endemic tidak lama lagi.
Beliau juga berharap kerajaan dan kementerian berkenaan dapat melakukan kajian terperinci sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung pemberian dos ketiga dan vaksin COVID-19 kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun.