20 SEPT : Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menyifatkan Islamofobia merupakan virus yang sama bahayanya dengan virus COVID-19 dan ia juga harus diperangi.
Justeru katanya, Turki akan Turki kini menjadi peneraju utama dalam usaha memerangi Islamofobia di pentas antarabangsa.
“Kami akan memerangi virus dinamakan Islamofobia ini yang lebih berbahaya dan licik. Virus ini, sama bahayanya dengan COVID-19.
“Dan ia menular dengan sangat pantas,” kata Erdogan dalam satu pertemuan anjuran Jawatankuasa Pemandu Turki Amerika di New York City.
Kata Erdogan, Islamofobia telah berubah menjadi trend yang mengganggu kehidupan seharian umat Islam dan mengancam keamanan sosial.
Erdogan tiba di New York untuk menghadiri sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa.
Terdahulu, beliau meluangkan masa mengunjungi Pusat Turkevi yang bakal dibuka, terletak di 821 First Avenue, Manhattan, berdekatan dengan ibu pejabat PBB.
Katanya, bangunan pencakar langit 36 tingkat itu adalah “monumen kebanggaan” yang tidak hanya berfungsi sebagai rumah bagi orang Turki tetapi juga untuk masyarakat Islam Amerika.
Bangunan yang menampilkan seni bina tradisional Turki, terutama dari Empayar Seljuk itu dapat dilihat dari pusat bandar Manhattan, Sungai Timur dan Long Island.
Rekaan bangunan itu mencerminkan budaya, sejarah dan kepelbagaian Turki.