20 SEPT : Kerajaan Negeri Terengganu perlu memanfaatkan sepenuhnya kedudukan sebagai negeri tunggal yang berada pada fasa 3 Pelan Pemulihan Negara dengan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain mengadakan kembali persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan waktu dan hari yang lebih panjang .
Bendahari Biro Antarabangsa ARMADA Nasional, Syaiful Irfan Anang berkata, sidang DUN pada 13-15 september baru-baru ini adalah terlalu pendek yang mana hanya berjalan selama tiga hari, bermula pada jam 9.30 pagi hingga 1 petang sahaja.
Justeru, beliau menegaskan tempoh yang diperuntukkan itu tidak munasabah bagi wakil rakyat berbahas isu-isu yang melibatkan permasalahan rakyat Terengganu.
“Dengan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat Terengganu sepanjang tempoh pandemik ini, sudah pasti ramai wakil-wakil rakyat ingin menyuarakan pandangan berdasarkan keadaan kawasan masing-masing .
“Rakyat juga sudah pasti ingin melihat wakil rakyat di tempat mereka menjalankan tanggungjawab dengan membawa permasalahan dan suara mereka di sidang DUN Terengganu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Syaiful yang juga Pengerusi Perintis Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Terengganu berkata, isu-isu melibatkan ekonomi negeri juga perlu diperbahaskan secara lebih holistik dengan penumpuan kepada memulihkan semula ekonomi rakyat sama ada dari sudut mikro atau makro.
Menurut beliau, geran-geran khas untuk membantu rakyat perlu disegerakan dalam memperlihatkan kesungguhan kerajaan negeri membantu rakyat meningkat dan memulihkan semula ekonomi sara diri .
“Kerajaan negeri juga perlu menubuhkan jawatankuasa khas dengan penglibatan pakar-pakar ekonomi dalam membantu mewujudkan peluang pekerjaan secara drastik dalam menangani masalah pengangguran yang semakin meningkat .
“Pelbagai perkara perlu dibincangkan dan sudah tentu ia perlukan satu sidang DUN yang berkesan.
“Hasil perbahasan tersebut sudah pastinya adalah untuk dilaksanakan demi kepentingan seluruh rakyat negeri Terengganu,” katanya.