20 SEPT: Jumlah jangkitan baharu harian COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan ke 14,345 kes hari ini, malah Selangor menurun dengan ketara iaitu 1,365 kes.
Semalam Selangor mencatatkan kes 2,028.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hariannya berkata, Sarawak kekal menjadi negeri tertinggi kes jangkitan COVID-19 dengan 3,611 kes menjadikan keseluruhan kes di negeri itu meningkat kepada 183,399 kes.
Katanya, Johor mencatatkan kes kedua tertinggi dalam tempoh yang sama dengan 1,598 kes dengan jumlah keseluruhan kes di negeri itu ialah 180,379 kes manakala Selangor merekodkan jumlah keseluruhan 659,674 kes.
“Sabah mencatatkan 1,255 kes, diikuti Pulau Pinang 1,170 kes, Perak (1,090); Kelantan (1,050); Kedah (967), Terengganu (804), Pahang (779), Kuala Lumpur (307); Melaka (162); Negeri Sembilan (125); Perlis (51); Putrajaya (11),” katanya.