20 SEPT: Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet COVID-19 akan diadakan esok dengan agenda utama memfokuskan terhadap usaha mempermudahkan 181 prosedur operasi standard (SOP) kepada 10 SOP saja.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata dua menteri akan dijemput berbincang bersama iaitu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Kementerian Pelancongan akan memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain manakala Kementerian Belia dan Sukan akan memberi taklimat mengenai potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.
“Dalam pertemuan berikutnya minggu depan, kami akan menjemput pula Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin bagi memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai pelaksanaan vaksinasi bagi pelajar serta perkembangan terkini proses yang dilaksanakan KPM dalam pembukaan sekolah.
“Selain perkara berkenaan, Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 esok turut akan memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas berkenaan vaksinasi pelajar sekolah, Hishamuddin memberitahu seramai 255 pelajar tingkatan 4 dan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech dibawah Program Vaksinasi Kembali Ke Sekolah (back to school), hari ini.
Turut hadir pada program itu Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.
Beliau berkata, manakala 675 orang pelajar lagi dijangka selesai menerima suntikan masing-masing pada 24 September ini yang merupakan komited Kementerian menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk segera memulakan kerjasama bersama Kementerian Pendidikan melalui program tersebut.
“Ini demi melancarkan pemberian vaksin khsusnya kepada 5,887 orang pelajar berumur 12 hingga 17 tahun di sekolah-sekolah di dalam kem-kem ATM.
“Terdapat empat buah lagi sekolah menengah di dalam kem-kem ATM iaitu Maktab Rendah Sains Mara, Kem Terendak, Melaka; SMK Kem Terendak, Melaka; SMK Pangkalan TLDM, Lumut Perak; dan SMK Tanjung Pengelih, Johor.
“Vaksinasi bagi pelajar sekolah-sekolah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berhampiran.Program Vaksinasi Remaja untuk pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) akan dilaksanakan sebaik sahaja kesemua 504 orang pelajarnya kembali melaporkan diri pada 27 September ini,” katanya.
Sementara itu, bagi pemberian vaksin kepada pelajar sekolah rendah pula, Hishamuddin memaklumkan seramai 330 orang pelajar di Sekolah Kebangsaan Kem Kementah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Tun Hussein Onn akan diberi suntikan vaksinasi yang dijangka selesai pada 24 September ini.
“ATM sentiasa bersedia untuk mengatur gerak Tim Suntikan Bergerak Perkhidmatan Kesihatan ATM pada bila-bila masa bagi membantu KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan program vaksinasi di sekolah-sekolah di seluruh negara sekiranya diperlukan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH