20 SEPT : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membangunkan sebuah portal Home Quarantine Application (Portal HQA) bagi memudahkan pengembara dari luar negara membuat permohonan Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, portal HQA diwujudkan memandangkan proses permohonan HSO kini dilakukan secara manual dan mengambil proses yang lama untuk diselesaikan, berdasarkan tinjauan berhubung proses saringan yang dilakukan terhadap pengembara dari luar negara yang pulang ke Malaysia.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Crisis Preparedness & Response Center (CPRC) KKM untuk membangunkan portal tersebut bagi memudahkan urusan permohonan HSO.
“Pastinya situasi ini tidak kondusif dan agak membebankan bukan sahaja kepada pengembara, malah kepada para petugas kesihatan dan keselamatan.
“Buat masa ini mereka perlu menghantar permohonan melalui emel kepada hso@moh.gov.my dan proses ini telah menyebabkan berlakunya tunggakan permohonan sebanyak 6,000,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini.
Justeru, Khairy berharap dengan adanya portal HQA ini, maka segala urusan permohonan dapat dilakukan dengan lebih baik dan pantas.
“Mereka yang ingin memohon boleh mula melayari dan membuat permohonan melalui portal ini pada jam 8 pagi esok (21 September 2021). Pautan portal ini boleh didapati di laman sesawang KKM.
“Saya ingin tekankan di sini bahawa walaupun proses-proses ini akan dipermudahkan melalui portal HQA yang baharu diperkenalkan, namun saya jamin tidak akan sekali-kali berkompromi dalam soal keselamatan dan kawalan kemasukan di pintu-pintu masuk antarabangsa,” tegasnya.
Khairy hari ini membuat tinjauan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Beliau hadir ke KLIA bersama-sama Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abd. Kadir dan juga pengurusan tertinggi KKM.
“Petang tadi saya berkesempatan melihat pelaksanaan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan kit ujian kendiri saliva bagi pengembara yang akan ke Langkawi di dalam gelembung pelancongan domestik Projek Rintis Langkawi.
“Untuk makluman semua, sejak bermulanya projek rintis ini pada 16 September lalu sehingga 19 September 2021, jumlah keseluruhan pelancong yang disaring di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi adalah 9,776.
“Daripada jumlah ini, hanya 13 individu dikesan positif dan kesemua mereka merupakan kategori satu iaitu tidak bergejala di mana kesemua mereka dan kotak rapat telah diberikan perintah HSO untuk tempoh 10 hari,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan ujian saringan ini bukanlah untuk menyusahkan anda tetapi, ia dilakukan bagi memastikan setiap pembukaan semula sektor-sektor ekonomi di negara ini dilakukan dengan selamat.