20 SEPT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menahan tiga pegawainya bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes terhadap seorang bekas ketua jabatan.
SPRM menegaskan bahawa suruhanjaya itu tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terlibat dalam sebarang perbuatan jenayah serta akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya perbuatan itu benar berlaku.
“Ketiga-tiga pegawai terbabit telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah selama enam hari bermula Selasa hingga Ahad lalu.
“Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan SPRM berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini kerana ia akan menjejaskan siasatan,” kata SPRM menerusi kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, laporan di sebuah blog tempatan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalahgunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.
Tambahnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati sengaja menyalah guna media sosial untuk menyebarkan berita palsu.
Namun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mengesahkan tidak menerima laporan setakat ini berhubung dakwaan berlaku kecurian barang kes membabitkan wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) milik seorang individu yang pernah disiasat SPRM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan dalam satu kenyataan pada Ahad berkata, pihaknya mengambil maklum berita tular di media sosial yang mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman kerana terbabit mencuri wang tersebut.