21 SEPT: Kerajaan Sabah optimis pemulihan sektor ekonomi akan lebih pantas hasil kerjasama kerajaan negeri dan pusat.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin, berkata kerajaan negeri dan Persekutuan melaksanakan beberapa pakej rangsangan dan pelan pemulihan ekonomi serta menyalurkan pelbagai bantuan kepada rakyat dan komuniti perniagaan yang terjejas.
“Ini termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Sabah, dana Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah dan pembukaan sektor ekonomi secara berfasa oleh kerajaan negeri.
“Kerajaan Persekutuan pula melaksanakan pelan pemulihan ekonomi seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) serta Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
“Saya optimis usaha tersebut akan membantu mempercepat pemulihan ekonomi di negeri kita, Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Keenam Belas Tahun 2021, hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, dan dua Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffry Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.
Dalam pada itu, Juhar berkata, peruntukan besar yang diberikan kepada negeri ini berjumlah RM5.1 bilion di bawah Belanjawan Negara 2021 untuk pelaksanaan projek pembangunan, termasuk pelbagai bantuan bagi menangani pandemik COVID-19 mencerminkan keprihatinan Kerajaan Persekutuan terhadap Sabah.
“Bagi Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 2.0 dan Pakej Bantuan Prihatin COVID-19 Sabah 3.0, kerajaan negeri telah membelanjakan sejumlah RM324 juta bagi membantu rakyat dan semua sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Bantuan ini merangkumi bantuan tunai secara ‘one-off’, pengecualian bayaran sewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR), program imunisasi dan bantuan bakul makanan,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19, Juhar berkata, kerajaan Sabah menyasarkan 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksinasi menjelang penghujung bulan ini dan 80 peratus penduduk dewasa Sabah bakal lengkap pelalian pada akhir bulan depan.
“Dengan komitmen penghantaran bekalan vaksin oleh Kerajaan Persekutuan serta kapasiti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri dan pelaksanaan program ‘outreach’ luar bandar yang berkeupayaan memberi suntikan vaksin kepada lebih 80,000 individu sehari, saya yakin sasaran berkenaan akan dapat dicapai.