21 SEPT : 60 kawasan termasuk taman perumahan dan kampung di empat daerah di Sabah terjejas akibat banjir kilat ekoran hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi tadi.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, sebanyak 10 kawasan di Sipitang juga terjejas banjir antaranya Kampung Menangah Ulu Sipitang, Kampung Sungai Tiga dan Kampung Naluyan, selain di Penampang satu kampung terjejas iaitu Kampung Sugud.
Selain itu, sebanyak 39 kawasan di Kota Belud antaranya Kampung Siasai Tamu, Kampung Kota Belud dan Kampung Bobot turut terjejas, manakala 10 kawasan di Kota Kinabalu antaranya Taman Fulliwa, Taman Wijaya Park dan Kampung Lapasan turut dilanda banjir kilat.
“Setakat ini seramai 14 orang daripada lima keluarga mangsa banjir di Sipitang dipindahkan ke PPS (pusat pemindahan sementara) Dewan Mini Mesapol pagi tadi, dan 20 mangsa banjir daripada tiga keluarga di Kota Belud dipindahkan ke PPS Dewan Muhibah Kampung Tombol.
“Proses pemindahan masih dijalankan dan jumlah mangsa dipindahkan di daerah lain belum lagi disahkan.
“Hujan masih turun di kawasan tersebut tetapi hanya hujan renyai dan pemantauan terus dilakukan terutama di kawasan hotspot banjir yang telah dikenal pasti,” jelas kenyataan itu.
Kata kenyataan itu lagi, dua jalan di Penampang iaitu Jalan Datuk Panglima Banting dan Jalan Kolopis terjejas teruk akibat banjir kilat, manakala jalan yang terjejas di kawasan Kota Kinabalu ialah di sekitar Tobobon, Manggatal sehingga ke Inanam dan Kolombong.
Manakala Jalan Kampung Menangah Ulu Sipitang tueut terjejas dan beberapa jalan di Kota Belud antaranya Jalan Kampung Bobot, Jalan Siasai Tamu dan Jalan Kampung Menunggui juga terjejas serta hanya dapat dilalui kenderaan berat.
Selain itu, terdapat beberapa kejadian tanah runtuh kecil dilaporkan di Kota Kinabalu iaitu di Kampung Unggun Jaya, Sunny Garden, Taman Fantasi, Kampung Pulau Penampang, Jalan Signal Hill, Jalan Taman Khidmat dan Taman Chanyai Villa.