22 SEPT: Kerajaan digesa berhenti ‘memburu’ warga pendidik yang gagal membayar semula biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang dianugerahkan selepas mereka tidak berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) seperti ditetapkan.
Ahli Parlimen PAS-Jerai, Sabri Azit berkata tindakan itu perlu kerana beliau difahamkan Bahagian Biasiswa dan Pembiayaan, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat melaksanakan operasi penguatkuasaan ke atas penerima biasiswa HLP yang gagal menamatkan pengajian dalam tempoh enam tahun.
Sabri berkata KPM mengekalkan keputusan Lembaga Biasiswa pada 2018 yang memutuskan pengecualian tindakan penguatkuasaan terhadap penerima biasiswa HLP peringkat PhD yang berjaya menamatkan pengajian dan mengemukakan pengesahan tamat pengajian sebelum Disember 2018.
“Semua pegawai pendidikan ini sudah cuba menamatkan pengajian mereka mengikut masa ditetapkan dalam tempoh cuti belajar dengan membayar sendiri yuran pengajian dan menyempurnakan pengajian berdasarkan tempoh dibenarkan universiti serta berkhidmat dengan cara terbaik.
“Bagaimanapun, kini mereka diburu oleh KPM dan dipaksa membayar RM120,000 hingga RM160,000 walaupun memperoleh PhD disebabkan sudah melepasi tempoh enam tahun ditetapkan kerajaan.
“Kita perlu hargai jasa dan pengorbanan warga pendidik kita yang berjaya membangunkan modal insan negara. Peneroka Felda pun kerajaan boleh lupuskan hutang kerana hargai pengorbanan dan jasa mereka dalam bidang pertanian. Justeru, warga pendidikan yang amat berjaya supaya diberikan pengecualian yang sama,” katanya ketika berucap di sesi perbahasan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Sabri berkata matlamat asal kerajaan mewujudkan HLP adalah melahirkan ramai ilmuan di Malaysia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.
Justeru, Sabri berkata beliau ingin mengemukakan pertanyaan kepada Menteri Pendidikan berapa ramaikah penerima biasiswa HLP yang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dan menamatkan pengajian masing-masing melebihi enam tahun selepas mengambil cuti sambung belajar sehingga 31 Disember 2018.
Terdahulu, Sabri meminta Kerajaan Persekutuan mempercepatkan proses penyaluran peruntukan berjumlah RM75 juta untuk membaik pulih pelbagai kemudahan infrastruktur yang rosak teruk akibat kejadian banjir lumpur dan fenomena kepala air di sekitar kaki Gunung Jerai di daerah Yan dan Merbok, Kedah, pada bulan lalu.
Sabri berkata tindakan berkenaan perlu kerana penduduk masih lagi dihantui kebimbangan akibat hujan lebat sentiasa melanda kawasan terbabit.
Sebelum ini Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM75 juta kepada kerajaan negeri Kedah untuk membaik pulih pelbagai kemudahan infrastruktur yang rosak teruk akibat kejadian banjir lumpur dan fenomena kepala air di sekitar kaki Gunung Jerai.
Get real time updates directly on you device, subscribe now.