21 SEPT: Kedah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM558.9 juta setakat 19 September lalu berbanding RM397 juta dalam tempoh sama tahun lepas.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perolehan keseluruhan Kedah pada tahun lepas sebanyak RM560.6 juta dengan peratus pencapaian 79.9 peratus.
“Setakat ini, peratus perolehan Kedah adalah 77.64 peratus, iaitu hasil diperoleh RM558.9 juta melebihi hasil dicatatkan sehingga September 2020, iaitu sebanyak RM390.7 juta.
“Kita jangka mampu memperoleh hasil sekurang-kurangnya RM40 juta lagi dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini, sekali gus mengatasi penerimaan hasil pada tahun lalu,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Alor Mengkudu-Amanah) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, hari ini.
Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri memberitahu hasil cukai diperoleh daripada cukai tanah, hiburan dan royalti.
“Bagi hasil bukan cukai diperoleh daripada pembayaran lesen, bayaran urus niaga tanah, permit, bayaran perkhidmatan, perolehan jualan barang, sewaan, faedah dari pelaburan, denda dan hukuman,” katanya.
Muhammad Sanusi turut memberitahu, Kedah akan melancarkan pinjaman mudah melibatkan peruntukan RM1 juta untuk peniaga kecil terjejas memulakan perniagaan dengan maksimum pinjaman RM5,000 pada Oktober depan.